Sunday 28 December 2008

Ma'al Hijrah 1430 Selami Perubahan


Bismiillahhirrahman nirahim..Assalamualakum w.b.t.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t sekalian alam. Samaada sedar atau tidak kita menginjak satu tahun lagi dalam urutan tahun Hijrah. Tahun 1429 Hijrah membawa seribu makna dan pengertian bagi yang menerima hakikat sebagai seorang manusia yang bertuankan Allah s.w.t. Melangkah ke 1 Muharam 1430 Hijrah bererti satu lagi perubahan yang perlu dilaksanakan kerana Allah s.w.t. Sudah terlaksanakah tanggungjawab kita sebagai HAMBA kepada Allah s.w.t. di tahun lalu? Bagaimana pula dengan persediaan untuk menghadapi tahun baru ini?

Berbeza sambutan Maal Hijrah dengan tahun baru masihi, dentuman bunga api, pesta keraian dan hiburan silih berganti dengan siaran rancangan televisyen bertukar tarikh dan masa mengisi setiap ruang lingkup kehidupan manusia hari ini. Ingatkah kita pengorbanan yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. dan kaum Muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah berhijrah dengan sehelai sepinggang ? Dengan membawa satu tekad dan perubahan hanya kerana Allah s.w.t. Bagaimana pula masyarakat yang berbeza mampu bersatu di bawah panji Islam hidup aman dengan segala nikmat kurniaan daripada Allah s.w.t. tidak terfikirkah kita?
Dalam menongkah kehidupan hari ini ramai golongan manusia yang tersasar jauh dari cahaya Illahi. Bunga yang dahulunya mekar dengan baja Islam dan hari ini dilihat layu dan terkulai menyembah bumi kerana mengasingkan diri dengan Islam. Yang seronok dan disukai oleh hati diambil dan yang bertentangan dengan kehendak nafsu ditolak jauh, dibuang jauh nun disana tetapi mengaku sebagai Islam. Dimanakah kedudukan itu di sisi Allah s.w.t.? Begitulah hanya tahun Hijrah saja yang menginjak tetapi hati tetap jauh dari roh Islam yang sebenar kerana lebih percayakan aqal daripada Allah s.w.t. Timbul perasaan terlampau yakin dengan keupayaan diri sehingga lupa adanya Allah s.w.t dalam menentukan usaha yang telah dilakukan.

Sebagai kesimpulan marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan Ibrah tentang kesilapan yang lalu untuk diperbaiki dalam tahun baru ini. Sedarlah wahai manusia belum terlambat untuk kita kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Ingatlah satu perkara yang KEMATIAN ITU PASTI cuma masa sahaja menentukan. Apabila terpisah jasad dan roh maka terputuslah amalan anak Adam itu melainkan tiga perkara sedekah jariah, ilmu yang disumbangkan dan doa anak-anak yang soleh. Semoga roh Islam itu mekar dalam jiwa sampai ke penghujung nyawa.Insyallah. Jangan jadikan kelemahan kita itu sebagai batas yang menhalang kecintaan kita pada Maha Agung. Syukran wasalam.

No comments: