Wednesday 3 December 2008

Lambaian Kasih Labuan

Konvoi Lambaian Kasih Labuan

Alhamdulillah selepas hampir dua hari berada di Wilayah Persekutuan Labuan ana dan juga sahabat selamat sampai ke UMS Kota Kinabalu. Satu pengalaman yang amat berharga sewaktu berada disana. Walaupun ana rasakan belum cukup untuk tempoh dua hari bagi menerokai keseluruhan tanah Labuan ini. Pada awalnya agak keberatan untuk ke Labuan bersama sahabat ini kerana tanggal 29 November ana akan berangkat ke semenanjung untuk menghadiri Konvensyen Rukun Negara di Melaka selama tiga hari. Bimbang kalau-kalau keletihan mencengkam apabila pulang nanti tapi kudrat dikumpul paluan keinginan tetap membawa diri ke sana. Satu peluang yang amat bermakna bagi diri ana yang pertama kali menjejakkan kaki ke Labuan yang popular dengan satusnya sebagai kawasan bebas cukai. Sedikit bingkisan ana kongsikan untuk para sahabat yang mengunjungi blog ini mungkin ada yang boleh dikongsi bersama.

26/11/08, Rabu (Hari Pertama)

2.05 Petang
Sebelum memulakan perjalanan, kami dahulukan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Akhi Faiz. Pada awalnya kami ingin bertolak pada jam 1 petang supaya kami dapat tiba awal di jeti Menumbok tetapi atas masalah yang tidak dapat dielakkan perjalanan kami bermula pada jam 2.05 petang. Untuk sampai ke Jeti Menumbok kami menelusuri laluan Papar dan seterusnya laluan Beaufort dan seterusnya sampai ke destinasi yang di tuju.
Perjalanan sejauh 160 kilometer dari UMS cukup mencabar dengan kekuatan ahli konvoi seramai empat orang dan dua buah biji motorsikal. Sepanjang laluan ke Jeti Menumbok tidak banyak yang dibualkan memandangkan kami mengejar masa untuk menaiki feri tepat jam empat petang.
4.40 Petang
Setibanya ana dan juga Akhi Faiz dengan Akhi Ding dan juga Akhi Mat Nor yang telah sampai lima minit lebih awal kami hanya mampu melihat feri berlepas dari Jeti Menumbok. Perasaan kecewa di hati tidak dapat digambarkan kerana terlepas menaiki feri kerana terlewat. Pada ketika itu, harapan kami seolah-olah sudah terkubur di situ tetapi selepas bertanya kepada salah seorang staf harapan kami kembali cerah dengan jawapan positif daripada staf tersebut. Rupa-rupanya masih ada feri yang ke Labuan pada hari itu selepas jam empat petang iaitu pada jam sembilan malam. Tanpa berlengah kami terus ke kaunter tiket dan membeli tiket untuk malam tersebut. RM 5 untuk satu penumpang, ditambah RM 10 untuk motorsikal dan yuran mendarat RM 2 menjadikan jumlah untuk yang membawa motorsikal sebnayak RM 17.
5.45 Petang
Kami solat terlebih dahulu di Masjid yang berdekatan dengan Jeti Menumbok sebelum kami memutuskan untuk melawat rumah Akhi Fahmi (Mantan NYDP 3 JAKMAS CD 07/08) yang terletak di Kampung Kerukan. Agak susah untuk mencari stesen minyak di sekitar Menumbok dengan simpang ke kanan ke Pekan Mempakul (2.6 Kilometer dari Jeti Menumbok) juga tidak terdapat stesen minyak yang ada hanyalah jualan melalui ketil-ketil (dialek orang tempatan).
6.21 Petang
Perjalanan yang mengambil masa 40 minit dari Jeti Menumbok ke rumah Akhi Fahmi agak memenatkan ditambah dengan petang yang beransur senja. Ketika kami tiba di Masjid Jami’ Kerukan, Akhi Fahmi yang baru sahaja selesai menunaikan solat Marghrib mengukirkan senyuman kepada kami mungkin kegembiraannya selepas melihat kedatangan kami. Tergambar wajah-wajah ceria yang bercampur dengan keringat keletihan selepas menghabiskan perjalanan dari UMS ke Menumbok. Selepas solat kami singgah sebentar di rumah Akhi Fahmi sementara menunggu masa feri berlepas jam sembilan malam nanti. Alhamdulillah rezeki dari Allah s.w.t kami makan malam di rumah Akhi Fahmi.
8.40 Malam
Selepas meredah kedinginan malam dari Kampung Kerukan akhirnya kami sampai ke Jeti Menumbok dan menunggu untuk menaiki feri. Sementara menanti untuk menaiki feri pelbagai sudut kami lihat dan sesuaikan dengan set untuk kami “click” gambar sebagai tanda kenangan.
9.50 Malam
Feri memulakan perjalanan dari Menumbok ke Labuan. Satu destinasi yang kami harapkan untuk sampai. Teringat pula ana untuk menghabiskan novel sejarah Islam bertajuk Khalid Memburu Syahid karya Abdul Latip Talib yang banyak menarik minat ana melalui jalan cerita yang digarap melalui kisah sejarah Islam untuk membacanya sehingga ke penghujungnya. Tambahan pula suasana yang suram dan sunyi tanpa jumlah pengunjung yang ramai mendorong minat untuk terus menghabiskan novel tersebut.
11.20 Malam
Perjalanan feri yang kami naiki mengambil masa satu jam setengah untuk sampai ke Jeti Labuan. Muka surat demi muka surat dibelek tanpa ana sedari yang kami telah tiba ke destinasi. Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t kami panjatkan ke hadratNya. Insyallah ana akan ulas pasal buku yang ana baca itu untuk dikongsi bersama Insyaallah. Setibanya kami di sana, kami terus berangkat menuju ke Masjid An-Nur di pusat Bandar untuk mencari teduhan sementara menanti hari esok.

27/11/08, Khamis (Hari Kedua)

6.40 Pagi
Selepas solat subuh kami meneruskan perjalanan dengan mencari stesen Minyak (Makluman: Stesen minyak di buka pada jam 7 Pagi). Sementara menanti stesen minyak memulakan operasinya kami bersetuju untuk makan terlebih dahulu di restoran yang kami gelar “Farwis” Labuan.hehe. Restoran yang tidak asing lagi bagi pelajar UMS KK di Kingsfisher. Di restoran ini kami makan sekadar untuk mengalas perut kerana tempat yang dituju kami selepas ini adalah UMSKAL untuk bertemu dengan Akhi Hafis (Pelajar tahun 4 dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial) .
7.45 Pagi
Perjalanan ke UMSKAL mengambil masa setengah jam dari pusat bandar. Kami mulakan perjalanan hari ini penuh bertenaga memandangkan inilah kali pertama ana semenjak datang ke Sabah menjejakkan kaki ke Labuan. Ketibaan kami disambut ceria dari pegawai Keselamatan yang ana lihat salah seorang dari mereka yang peramah dan selalu tersenyum. Setibanya kami di surau UMSKAL, kami meronda kawasan
sekitar surau sehinggalah kepada pejabat BADAR (Badan Dakwah UMSKAL) sementara menanti ketibaan Akhi Hafis. Beberapa minit kemudian Akhi Hafis tiba dengan senyuman. Sebelum kami berangkat, kami bertanyakan khabar dan berborak untuk mengisi masa kami yang kepenatan dari pusat bandar. Simpang ke Rumah Akhi Hafis hanya berdekatan dengan UMSKAL dan bersebelahan dengan Sekolah Sains Labuan. Kampung Sungai Pagar itulah nama yang diberi untuk kampung Akhi Hafis dengan jarak dari pusat bandar sejauh 15 Km.
8.40 Pagi
Kami tiba di kawasan Pantai Rekreasi Pancur Hitam dengan suasana yang lengang tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk bersama-sama menyelami kindahan pantai ini. Bermula dengan mencuba peralatan untuk rekreasi yang boleh dikatakan mencabar keupayaan fizikal bagi mereka yang mencubanya. Alhamdulillah kami setuju untuk mandi di pantai kecuali Akhi Hafis yang mungkin sudah biasa di sini.
10.05 Pagi
Seterusnya motorsikal ana meluncur laju ke satu kawasan yang ana tidak ketahui kerana mengikut sahaja Akhi Hafis yang memandu Iswara putih “silver”. Tepat jam 10.05 pagi kami tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai Kompleks Sejarah Chimney (KSC). Di pintu masuk tersergam indah bangunan Pusat Informasi Chimney (PIC) dan berdekatan dengannya adalah Menara Chimney (MC).

Kompleks Sejarah Chimney dibangunkan untuk mempamerkan segala sejarah awal yang berlaku di Tanjung Kubong. Sejarah awal membuktikan bahawa Tanjung Kubong merupakan kawasan arang batu sejak dari dari 1847.
Bangunan PIC dimulakan pembinaannya pada 25 Januari 2000 dan siap pada 29 Ogos tahun yang sama. Bersebelahan dengan Pusat Informasi Chimney ialah Menara Chimney yang telah dibaikpulih bagi menghargai sejarahnya pada masa yang terdahulu. Menara ini menjadi bukti berlakunya perlombongan arang batu di Tanjung Kubong.
KSC dibina bagi menambah koleksi pelancongan di Labuan selain daripada tempat menarik yang telah dibina sebelumnya seperti Taman Burung, Pantai Batu Manikar, Manikar Beach Resort, Pantai Pohon Batu, Terowong-Terowong Bekas Arang Batu, Bukit Kubong, kawasan perkampungan nelayan dan sebagainya.
MC merupakan peninggalan bersejarah Tanjung Kubong dan terletak 12 Km dari pusat bandar. Bagi masyarakat tempatan MC dikenali sebagai “punil”. Menara ini sememangnya terkenal dan unik di Labuan. Fungsi sebenar MC masih belum dapat dipastikan sehingga kini. Ada yang mengatakan MC ini adalah tempat peralihan udara untuk terowong bawah tanah tetapi melalui kerja ekskavasi tidak ada tanda-tanda kewujudan terowong di bawahnya. Sumber lain pula mengatakan MC itu adalah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi kerana pernah wujud pelabuhan di Pantai Lubok Temiang pada satu ketika dulu. Melalui penduduk tempatan pula kewujudan MC sebagai menara loceng untuk memaklumkan kedatangan kapal-kapal.
Pembinaan semula Chimney dilakukan dengan projek Konservasi Chimney dan melibatkan pelbagai peralatan sebagai bahan pengukuh dan bata-bata yang berbeza fungsinya.
11.00 Pagi
Seterusnya haluan kami diteruskan ke pusat bandar Labuan menuju ke Ujana Kewangan salah satu dari tempat yang mendapat perhatian. Tiada apa yang kami boleh lakukan disini dan kebetulan sewaktu kami berada di sini diadakan satu pameran “sound system” (nantikan posting ana berkenaan kereta bising ini.hehe) kereta. Tiada apa yang istimewa kami lakukan di sini sekadar mengenali tempat membeli-belah di Labuan sahaja. Disebabkan agak kepenatan kami bersetuju untuk makan di Deens Restoran sebelum berangkat balik ke rumah Akhi Hafis di Kg. Sungai Pagar.
12.00 Tengah Hari
Setibanya kami ke rumah Akhi Hafis, kami disambut oleh ummi Hafis yang tidak bekerja dan sebagai suri rumah sepenuh masa. Kelegaan hati kami terubat kerana kepenatan yang mencengkam dan kami isi masa sehingga waktu asar dengan rehat dan berborak bersama dengan keluarga Akhi Hafis.
4.00 Petang
Perjalanan dari rumah Akhi Hafis ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML) mengambil masa dalam 20 minit (11 kilometer dari pusat bandar). Tergerak rasa hati untuk mengenali dan merasai berada di KML. Setibanya kami di sana, surau menjadi tarikan utama kami kerana kami ingin mengetahui bagaimankah suasana Islam dari dalam KML. Alhamdulillah, hidup juga rumah Allah s.w.t ini dengan pengunjung dan juga satu kelompok pelajar yang khusyuk mendengar ilmu. Apabila berada di KML, kenangan sewaktu di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan 06/07 (KMNS 06/07) berlari di kotak minda. Kenangan yang tidak dapat dilupakan. Istilah “Skema” sentiasa tergiang-ngiang di sudut kecil minda. Suasana KML yang pada ketika itu yang harmoni sungguh mengharukan kami ditambah dengan ingatan sewaktu penulis berada di KMNS. KML kami tinggalkan dan menuju ke pusat bandar untuk membeli tiket pulang keesokkan harinya.
9.10 Malam
Pada ketika ini tiada apa yang dapat kami lakukan kerana ketiadaan elektrik atau dalam dialek tempatan “mati karen” dicampur dengan kepenatan malam tersebut kami tidur awal sebagai persediaan untuk memulakan perjalan balik pada keesokan harinya.

28/11/08, Jumaat (Hari Ketiga)

6.40 Pagi
Hari ketiga dan merupakan hari terakhir kami untuk Konvoi Lambaian Kasih Labuan. Sebenarnnya agak keberatan untuk kami meningggalkan Labuan ini kerana masih banyak tempat yang belum kami lawati dan terokai tetapi memikirkan masih ada tugas yang perlu diselesaikan penulis sebelum berangkat ke Melaka pada keesokan harinya untuk program Konvensyen Rukun Negara. Memikirkan persiapan yang belum lagi dilakukan, konvoi pulang ke UMS KK kami teruskan dengan tenang.
9.40 Pagi
Feri memulakan perjalanan dari Labuan ke Jeti Menumbok. Dari jauh kami dapat lihat kedudukan Labuan yang direntangi dengan laut yang membiru.
2.15 Petang
Kami tiba di UMS KK selepas solat jumaat di Masjid Negeri dan makan di kampung Likas.



No comments: