Tuesday 26 May 2009

Program LAMEGA ’09: Pantai Cahaya Bulan

Sepanjang cuti ini nur_mahasiswa diberikan kepercayaan untuk memegang dan mengurus Unit Tempat dan Pengangkutan bagi program LAMEGA ’09 atau dengan nama panjangnya LAMBAIAN MENARA GADING 2009. Berikut adalah ketetapan program LAMEGA ’09 yang dilaksanakan:

Nama Program : Lambaian Menara Gading 2009

Tarikh : 28 Mei 2009 – 30 Mei 2009

Tempat : Home Beach@HB Village, Pantai Cahaya Bulan

Anjuran : Markaz Siswazah Kelantan (MSK)& Kerajaan Negeri Kelantan

Program yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar yang bakal memasuki pengajian tinggi daripada abang-abang dan juga kakak-kakak dari universiti temapatan adalah satu langkah baik dan berterusan untuk memastikan adik-adik tidak terkapai-kapai di universiti nanti.

Antara sasaran peserta adalah dari lepasan SPM 2008, lepasan matrikulasi, STAM dan mereka yang bakal memasuki universiti. Program yang dilihat mampu memeberi sumbangan yang positif kepada pelajar dalam usaha untuk memastikan mereka tidak LESU,LEMAU dan LEMAH (3L) apabila berada di kampus.

Harapan daripada nur_mahasiswa agar program ini akan berterusan dan beroleh manfaat kepada semua yang terlibat. Semoga beroleh keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.

PAS: Ulamak @ Profesional???

Dalam beberapa hari ini nur_mahasiswa tertarik kepada isu yang melibatkan pemilihan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Bukan bermaksud menarik isu ini dalam penglibatan mahasiswa terhadap poltik tetapi sekadar membawa idea dan pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam persekitaran pada hari ini. Isu yang menarik untuk dikupas dan didalami sebagai pengetahuan am untuk peralihan kehidupan seorang pelajar kelak.

Dicucuk dari dalam dan luar siapa tidak terasa kesakitannya melihatkan pelbagai pihak yang seolah-olah ada pandangan dan idea yang merujuk kepada kepimpinan bakal dipilih dalam PAS itu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa PAS bakal dikuasai oleh golongan profesional pada pemilihan kepimpinan pada kali ini. Adakah itu benar?

Hakikat yang jelas setelah diamati sejarah lahirnya PAS itu sendiri bagaimana dua golongan atau entiti ini seiring menghadapi pelbagai ujian yang datang dalam membentuk kematangan dan survival dalam politik. Ibarat isi dengan kuku, bagai aur dengan tebing, gigi dan lidah itulah bahasa mudah untuk menggambarkan dua golongan ini. Dalam menerajui kematangan dua entiti ini perlu berpadu tenaga dan menggenggam erat tangan antara satu sama lain untuk memastikan tali PAS itu sentiasa dalam laluan yang sebenar mendokong Al-Quran dan As-Sunnah.

Perubahan semakin jelas dan cahaya Islam semakin menyinar dengan melihatkan masyaratkat hari ini yang segelintirnya yang semakin sedar tentang kempentingan agama dalam pembentukan insan dan kepentingannya dalam memandu hati di jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Dari nur_mahasiswa, dalam kepimpinan manusia kelemahan dan kekurangan tetap ada tetapi, selagi mana usaha dan mujahadah yang kuat untuk memperbaiki kekurangan tersebut Insyallah kita tergolong dalam golongan yang mencintai agama Allah.

Sunday 24 May 2009

Pengganti ADUN Manek Urai

Al-Fatihah kepada Allahyarham Ismail Yaakob 60 tahun yang telah kembali ke rahmatullah semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah s.w.t

Patah tumbuh hilang berganti mungkin itulah ungkapan yang sesuai dijelaskan untuk membawa maksud kepada perubahan kepada pengganti kepada Allahyarham di kawasan membesarnya ibunda nur_mahasiswa untuk beberapa tahun. Melihat kepada situasi negara yang berlaku pada ketika ini tidak mustahil ada pengaruh terhadap keputusan pengundian di Manek Urai samaada calon dari PAS akan kekal atau sebaliknya.

Manek Urai adalah antara salah satu daripada tiga ADUN dalam parlimen Kuala Krai selain Dabong dan Mengkebang.

Selaku mahasiswa yang melihat melalui jendela perspektif mahasiswa perubahan tetap ada. Nur_mahasiswa mengharapkan orang yang bakal mengisi kedudukan tersebut adalah dari kalangan yang mampu member manfaat kepada rakyat bukan sahaja dari sudut kebendaan dan materialistik semata-mata tetapi pengisian jiwa dan rohani selaku manusia. Apa yang diharapkan adalah kemenangan untuk mereka yang memperjuangkan Islam sebenar.

Kawasan yang hampir majoritinya Melayu ini dilihat mampu bangun dan terus bangkit dalam pelbagai aspek walaupun beralih tangan. Semoga perubahan yang akan datang akan terus membawa kebaikan kepada semua. Insyallah.

Friday 22 May 2009

Zamrby Rampas Kembali Perak

Terbaca berita berkenaan krisis di perak seolah-olah tarik-tali yang tidak berkesudahan akhirnya buat masa ini memihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas permohonan rayuannya diterima oleh Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Perubahan yang berlaku dalam keadaan rakyat seolah-olah terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Tidak kurang juga yang tidak memahami situasi perkara yang berlaku di Perak. Krisis di Perak boleh di anggap nilai politik yang ada di Malaysia.

Mewakili rakyat secara jujur

Mandat yang dipikul sebenarnya adalah perkara amat besar dan tidak boleh dipermainkan di atas sebab-sebab tertentu tetapi sebaliknya satu keikhlasan yang sebenar perlu hadir dalam diri bukan sahaja kepada Menteri Besar tetapi juga keseluruhan kepimpinannya. Jika diaamati situasi yang berlaku ada kekotoran yang terselindung. Sedar atau tidak dalam situasi tersebut sesebuah kepimpinan perlu kembali merujuk rakyat. Terpulang kepada rakyat untuk menentukan keputusan. Tidak pasti kenapa tidak berlaku perkara sedemikian? Sedangkan dalam apa-apa hal rakyat yang perlu diutamakan.

Kuasa di tangan rakyat

Walauapapun yang berlaku kita mendoakan keadilan yang sebenar akan berpihak kepada pihak yang benar-benar jujur dan tidak menjadikan kepentingan peribadi sebagai perkara utama. Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Insyallah.

Salam Siasah

Wednesday 20 May 2009

Anugerah Dari Illahi:Masa Lapang Untuk Islam

Anugerah Dari Illahi:Masa lapang untuk Islam

Alhamdulillah semester ini dilalui dengan pelbagai keadaan dan situasi,yang pasti bergelut dan terus bergelut. Hanya ketenangan dan kekuatan dari yang maha Esa untuk terus meniti perjalanan hidup tetapi jauh di sudut hati banyak kelemahan, kekurangan, kekerdilan yang semakin jelas pada diri nur_mahasiswa setelah jauh berjalan dan mengenal kehidupan yang sebenar. Hakikatnya manusia tetap manusia selaku hamba kepada Allah s.w.t. kebergantungan padaNya adalah tonik yang paling penting untuk terus bergerak mencari keredhaan dalam kehidupan ini.

Tenang dan sabar menghadapi ujian dari pelbagai ruang kerana itu kita yang bergelar sebagai hambaNya

Terlebih dahulu mohon maaf kepada sahabat-sahabat kerana suara blog yang sudah lama tidak berketuk. Bukan tidak mahu update tetapi dirundum dengan pelbagai masalah yang tak bisa dihandle agak kaget dan terpaku dek masalah yang datang. Dunia organisasi banyak mengajar untuk matang samaada dalam kepimpinan formal dan informal untuk memastikan amanah dan tanggungjawab dilaksanakan secara berterusan walaupun datang kesusahan dan kepayahan. Insyallah cuti sebagai ruang untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelompangan yang ada kata orang hidup ini bermakna dengan perubahan yang dilakukan dalam setiap kelemahan yang berlaku pada diri.

Merindui perjuangan sahabat-sahabat yang terus berjuang.

Ruangan blog dari nur_mahasiswa ingin melahirkan kata-kata untuk semua sahabat untuk terus memanfaatkan cuti sepenuhnya untuk Islam. Selagi mampu berfikir, berfikirlah untuk Islam. Jangan biarkan masa kita terbuang kosong dengan perkara yang tidak bermanfaat. Di ruang masa yang Allah s.w.t. sediakan kepada kita manfaatkanlah dengan sepenuhnya sebelum datang kesibukan kembali.

Tingkatkan Ilmu dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Hidup dengan masa yang lapang seolah-olah datang satu ujian kepada hambaNya untuk diuji samaada dimanfaatkan sepenuhnya masa untuk Islam dan perkara yang berguna. Apalah guna setiap masa yang ada hanya diguna untuk perkara yang tidak mendatangkan faedah. Bergelar mahasiswa anda lebih arif dan bisa tahu apa yang sepatutnya anda lakukan untuk meningkatkan keupayaan diri semata-mata untuk Islam.

Merancang untuk akademik bagi semester yang seterusnya

Alhamdulilllah ada ruang yang datang dari Allah s.w.t. merancang perjalanan hidup yang seterusnya. Apa yang telah berlalu kita terima dengan penuh redha. Ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada kita selaku hambaNya. Buat sahabat-sahabat teruskan perjuangan selagi mana kudrat diizinkan oleh Allah s.w.t. Insyallah.