Sunday 20 December 2009

Perubahan Dalam Iklim Politik Negara

Ruangan harakahdaily terus menerus memaparkan imej sebenar berkenaan hasil Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu. Selaku mahasiswa yang terbuka dalam menyampaikan pandangan secara peribadi, melihat satu perubahan yang besar berlaku kepada iklim atau suasana politik sekarang dan akan datang.

Selepas hasil pembacaan daripada sumber penulisan yang pelbagai, ada banyak perkara yang boleh dijadikan rujukan kepada semua asalkan berguna. Di ruang ini saya lontarkan berdasarkan pandangan peribadi.

Ambil yang jernih buang yang keruh

Saya melihat perubahan yang akan berlaku berdasarkan penekanan terhadap keutamaan dalam dasar yang dicetuskan dalam ucaptama pemimpin-pemimpin utama parti, yang berbeza berdasarkan aliran fikrah dan pemikiran dan ini adalah sesuatu yang diharapkan dan dibanggakan sekiranya berjaya dilaksanakan dengan baik. Antara hasil perubahan adalah pada dua perkara berikut:

Suasana Perubahan Pemikiran Masyarakat

Masyarakat hari ini perlu lebih banyak terbuka dalam menerima perubahan tidak hanya bergantung kepada mana-mana pihak dalam memastikan kelangsungan dalam kehidupan sebaliknya melihat perubahan dalam diri secara total sebagai satu elemen penting untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia. Perubahan yang bagaimana? Perubahan diri yang mampu mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berdaya saing walaupun dalam ruang perbezaan dari sudut agama, budaya dan lain-lain.

Saya sebutkan perbezaan yang melambatkan kemajuan dalam Malaysia dan ramai yang melihat perbezaan ini sebagai jurang pemisah kejayaan Malaysia.

Islam tidak melihat perbezaan satu jurang pemisah kejayaan sesebuah bangsa dan begitu juga pandangan saya terhadap agama lain, tetapi apa yang penting adalah permbezaan yang membuka kelebihan dan kebaikan kepada semua dalam amalan-amalan kehidupan manusia seharian dengan harapan kehidupan yang lebih harmoni.

Suasana Perubahan Pemikiran Mahasiswa

Adalah diharapkan perubahan yang berlaku juga dapat diterima kepada golongan mahasiswa untuk membentuk mahasiswa yang lebih dinamik, kreatif dalam menangani permasalahan, dan bijak dalam menguruskan diri di kampus bagi memastikan kita dapat memberi manfaat yang sepenuhnya kepada rakyat apabila keluar dari tempat pengajian

Satu perkara yang penting adalah mahasiswa perlu tahan kepada cabaran, kuat semangat dan sanggup berdepan dengan ujian. Ciri-ciri ini perlu dalam membina mahasiswa yang lasak bukan sahaja di medan akademik tetapi di medan masyarakat.

Mahasiswa hari ini tidak melihat sesuatu ujian dan kesusahan yang diterima sebagai sesuatu perkara yang positif tetapi ujian ini dianggap penghalang untuk memajukan diri dalam akademik dan kehidupan seharian. Ujian yang datang ini yang akan membina kekuatan untuk masa akan datang.

Pengalaman yang perlbagai seharusnya dikumpulkan oleh semua mahasiswa sebelum keluar kepada medan masyarakat. Dalam ruang ini saya yakin mahasiswa akan lebih banyak menerima ujian. Jadikan hari ini adalah persediaan untuk hari yang seterusnya dan yang akan datang.

Hakikatnya mahasiswa perlu berani dalam meniti perubahan bukan dengan hanya bergelumang dengan permasalahan kecil yang dibesarkan tetapi melihat masalah dengan ruang yang kecil tetapi ruang penyelesaian yang lebih besar.

Saturday 12 December 2009

Antara Pengorbanan dan Perubahan



..Sang Pejuang dunia dan akhirat..


Perubahan memerlukan pengorbanan

Pengorbanan membawa perubahan

Kadang-kadang terkorban dalam perubahan

Diri, keluarga, sahabat, harta, masa, tenaga dan lain-lain

Demi secangkir keredhaan dari Illahi

Alunan di medan perjuangan

Ikhlas..???

Jujur...???

Kadang-kadang perubahan di buat dibanding di luar

Kadang-kadang perubahan di buat dibanding sebelumnya

Kadang-kadang perubahan dibuat ditolak mentah-mentah

Kadang-kadang perubahan dibuat dibenci

Kadang-kadang perubahan dibincang di belakang

Mengapa kita tidak bebas untuk buat perubahan?

Mengapa kita terikat untuk buat perubahan?

Tidak ada yang ingin bersama membawa perubahan?

Perlukah kita diikat untuk mengikat perubahan?

Pengorbanan…

Pengorbanan disimpan

Pengorbanan dirasakan

Pengorbanan memeritkan

Pengorbanan memakan diri

Pengorbanan memakan Jiwa

Tapi….

Air mata pengorbanan mengharukan

Air mata pengorbanan memilukan

Air mata perubahan menyeronokkan

Air mata perubahan menggembirakan

Tanda kasih dan biacara Allah s.w.t. kepada hambaNya

Terlakar Senyuman pada hasil perubahan

Nikmat dalam melihat perubahan hasil pengorbanan

Mengorbankan hati untuk mu Ya Rabbi

Mengorbankan jiwa untuk mu Ya Rahman

Kenapa berkorban…??

Sebab itu hasrat penciptaNYA

Kita tidak gemar perubahan malah benci perubahan

Perubahan menyusahkan

Perubahan meloyakan

Perubahan menyakitkan

Perubahan memenatkan

Perubahan menyesakkan

Perubahan…….

Ditarbiah untuk perubahan

Diasuh untuk perubahan

Dididik untuk perubahan

Dibentuk untuk perubahan

Relakah kita demi perubahan..?

Marilah bersama dalam laluan PENGORBANAN

Marilah bersama membina PERUBAHAN

Antara PENGORBANAN DAN PERUBAHAN

terselit KETENANGAN yang hakiki

Friday 11 September 2009

Hayati Bulan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
Dewasa ini kita melihat pelbagai kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Pelbagai pendekatan yang diambil untuk memastikan masyarakat supaya selari dengan perkembangan kemajuan yang berlaku. Saya tertanya-tanya kemanakah harus dituding setiap permasalahan yang berlaku ini. Daripada pertanyaan itu timbul pelbagai jawapan yang mungkin ada betul dan ada tidaknya.

Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ungkapan yang sering saya dengar dan saya sendiri sebut tetapi adakah itu sekadar sebutan kemanisan dibibir dan lirikkan indah di telinga sahaja. Saya masih tidak faham dengan masyarakat kampus yang beragama Islam yang pada saya mungkin faham atau tidak faham atau buat-buat tidak faham dalam setiap tindak-tanduk dan perilaku seharian sepanjang bulan Ramadhan. Lihat sahaja contoh dalam seharian kita berlapar melihat gelagat sahabat-sahabat kampus ulang-alik ke sana dan ke mari membonceng antara lelaki dan perempuan, turun makan sahur berseluar pendek menadah tangan membaca doa, sentuh menyentuh antara lelaki dan perempuan muslim tanpa ada batsan dan lain-lain lagi.

Seperkara lagi yang agak pelik kita berlumba-lumba untuk solat sunat tarawih berjamaah tetapi solat fardhu berjamaah amat jauh sekali untuk diamalkan. Mungkin sangka baik yang boleh saya gambarkan sibuk menunaikan tuntutan individu sebagai mahasiswa dan bekerja. Apa yang penting adalah ingatkan dan usahakan diri untuk bersama-sama menunaikan solat fardhu berjamaah dalam apa jua keadaan sekalipun kerana banyak manfaat dan keberkatannya.

Secara peribadi saya melihat adakah kita ini sekadar berpuasa lapar dan dahaga bermula sebelum subuh dan penghujung senja kita berbuka tetapi tanpa penghayatan kita yang sebenar kepada Islam iaitu kepada Allah s.w.t. cukup jauh seolah-olah kita hanya berlapar sahaja dalam bulan ramadhan.

Lontaran masalah dan idea-idea pada artikel kali ini adalah yang paling utama untuk mengingatkan diri saya terutamanya dalam melalui denai kehidupan sepanjang bulan ramadhan dan juga untuk sahabat-sahabat yang berada di kampus. Berkongsi ilmu adalah sebaik-baik manusia ciptaan Allah s.w.t. Sekadar pesanan dan peringatan jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai medan latihan untuk kita berubah kepada keadaan Islam yang sebenarnya dan berterusan untuk masa akan datang.

Wallahhuallam.

Tuesday 8 September 2009

Suara Politik Di Kampus

Assalamualaikum w.b.t.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
Medan politik kampus adalah satu medan terbaik buat mahasiswa kampus yang mendidik diri untuk menghadapi suasana mencabar di luar kampus. Peluang yang baik ini amat menguntungkan mahasiswa sekiranya manfaat yang sebenar diberikan kepada mahasiswa untuk bersama belajar dan diberi pendedahan berpolitik dengan lebih dinamis dan berkualiti bagi menjamin kepimpinan yang berkualiti pada masa akan datang.
Pada tarikh 5 Sepetember 2009 Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan daripada ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang pada hemat saya berada di Sabah di atas urusan rasmi. Program ceramah umum Khairy Jamaluddin bertempat di Dewan Resital UMS bertajuk Mahasiswa dan Masa Depan yang saya difahamkan bermula lewat dari masa yang dirancangkan. Antara isu-isu yang sempat didengar oleh telinga kurniaan Allah s.w.t. ini adalah seperti isu mansuhkan ISA dan isu PPSMI serta sedikit pesanan daripada Khairy Jamaluddin kepada mahasiswa kampus. Isu-isu ini dijawab bagi pihak kerajaan yang memerintah untuk tatapan mahasiswa dan hadirin dari luar yang lain.
Secara peribadi saya melihat ini adalah satu petanda positif kehadiran ahli politik ke dalam kampus seolah-olah memberi satu nafas baru kepada mahasiswa untuk dikongsi pengalaman politik dan bagi menjelaskan isu-isu yang berlaku sebelum ini di pihak kerajaan dan juga pembangkang tetapi ada beberapa persoalan yang bermain di minda berkenaan perjalanan program ini dan suara keadilan kepada mahasiswa daripada semua pihak. Saya lontarkan beberapa persoalan yang hadir dalam pemikiran saya setakat yang difahami sepanjang berada di kampus. Berikut adalah persolan yang timbul di fikiran saya berkenaan program yang berlangsung:
  1. Adakah ruang yang sempurna (kerajaan dan pembangkang ) untuk menjelaskan isu kepada mahasiswa untuk dibawa pertimbangan mahasiswa ? Apa yang saya maksudkan disini adalah kehadiran semua pihak dari pelbagai latar belakang untuk menjelaskan berkenaan sesuatu isu (Cadangan: Wakil politik pro-kerajaan, pembangkang, pihak swasta dan juga tokoh akademik universiti)
  2. Adakah kampus dibenarkan untuk membawa masuk mereka yang berlatar belakang politik?
  3. Boleh atau tidak mahasiswa menjemput dan meraikan ahli politik yang pelbagai latar belakang dan fahaman untuk berkongsi sesuatu pengalaman berguna dari sudut akademik bagi mengupayakan kebolehan dan kualiti mahasiswa ?


Itulah diantara persoalan yang timbul di minda dan mungkin ada pihak yang boleh menjawab persoalan tersebut atas pandangan peribadi atau lain-lain. Saya ajukan persoalan ini selaku pihak yang neutral terhadap pelbagai perkara yang berlaku dan sebagai ruang untuk membuktikan kebebasan mahasiswa bersuara dan layak untuk bersuara mengikut persekitaran yang berlaku dan pandangan peribadinya terhadap apa yang berlaku.

Moga boleh berkongsi ilmu dan pengalaman untuk dibawa bekal pada masa yang tidak menentu nanti.

Tuesday 4 August 2009

Antara H1N1 dan FFM’09.Mana popular??

Alhamdulillah ada ruang yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikan sedikit peringtan kepada diri dan juga sahabat semua. Sedar atau tidak hari-hari yang kita lalui cukup memberi kesan dan manfaat untuk terus hidup sehingga tempoh yang diizinkan oleh Allah s.w.t. Hakikatnya dari mana kita datang disitulah jugalah kita akan kembali.

Sekadar maklumat dan mungkin semua sudah sedia maklum berkenaan Festival Filem Malaysia 2009 yang sudah bermula seperti di dalam jadual perencanaannya. Universiti Malaysia Sabah menjadi tuan rumah untuk kali ini. Samaada setuju atau tidak dari semua, FFM’09 sedang berlangsung sehingga menanti kepada hari kemuncaknya iaitu pada 8 Ogos 2009 nanti. Untuk maklumat juga hanya dua slot sahaja yang menggunakan kemudahan UMS iaitu tayangan video di Dewan Resital dan juga acara kemuncak di dewan Canselor.

Secara peribadi saya adalah antara individu yang tidak menyokong perlaksanaan FFM’09 di UMS. Antara sebab-sebab utama adalah status akademik yang dimiliki oleh mana-mana universiti di seluruh dunia. Kedua diatas status artis-artis di Malaysia (ada yang positif dan negatif) dan juga kesannya kepada UMS. Kita tidak mahu wajah UMS diangkat dan dijulang dengan cara sedemikian di mata masyarakat Malaysia. Jika kita mahu dikenali perhebatkanlah dengan wajahnya dengan status akademiknya itu sendiri.

Terdetik di hati saya setelah bersama dengan salah seorang sahabat kampus samaada kita perasan atau tidak satu perkara berkenaan H1N1. Adakah ini adalah satu bala yang datang di dunia di atas kerosakan dan juga kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia pada hari ini sepertimana yang telah disebut dalam Al-Quran dan UMS tidak terlari dari bala ini. Sekadar maklumat juga sebagaimana kita sedia maklum status dan bilangan mereka yang telah disyaki positif terhadap H1N1 yang kian bertambah.

Sahabat yang saya hormati sekalian

Pena ini bukan bermaksud untuk untuk menimbulkan kontroversi atau publisiti yang meluas tetapi sekadar menyampaikan suara dan peringatan kepada diri saya dan juga sahabat kampus yang masa kita semakin lama semakin dekat. Lebih baik bersedia dari awal. Jadilah kita sepertimana tokoh terbilang Islam Khalid Al-Walid yang sangat cintakan kematian (kerana kita bersedia dan melaksanakan tuntutan yang telah disyariatkan) dan bencikan dunia yang melalaikan (perkara yang negatif).

Wallahhuallam

Tuesday 26 May 2009

Program LAMEGA ’09: Pantai Cahaya Bulan

Sepanjang cuti ini nur_mahasiswa diberikan kepercayaan untuk memegang dan mengurus Unit Tempat dan Pengangkutan bagi program LAMEGA ’09 atau dengan nama panjangnya LAMBAIAN MENARA GADING 2009. Berikut adalah ketetapan program LAMEGA ’09 yang dilaksanakan:

Nama Program : Lambaian Menara Gading 2009

Tarikh : 28 Mei 2009 – 30 Mei 2009

Tempat : Home Beach@HB Village, Pantai Cahaya Bulan

Anjuran : Markaz Siswazah Kelantan (MSK)& Kerajaan Negeri Kelantan

Program yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar yang bakal memasuki pengajian tinggi daripada abang-abang dan juga kakak-kakak dari universiti temapatan adalah satu langkah baik dan berterusan untuk memastikan adik-adik tidak terkapai-kapai di universiti nanti.

Antara sasaran peserta adalah dari lepasan SPM 2008, lepasan matrikulasi, STAM dan mereka yang bakal memasuki universiti. Program yang dilihat mampu memeberi sumbangan yang positif kepada pelajar dalam usaha untuk memastikan mereka tidak LESU,LEMAU dan LEMAH (3L) apabila berada di kampus.

Harapan daripada nur_mahasiswa agar program ini akan berterusan dan beroleh manfaat kepada semua yang terlibat. Semoga beroleh keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.

PAS: Ulamak @ Profesional???

Dalam beberapa hari ini nur_mahasiswa tertarik kepada isu yang melibatkan pemilihan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Bukan bermaksud menarik isu ini dalam penglibatan mahasiswa terhadap poltik tetapi sekadar membawa idea dan pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam persekitaran pada hari ini. Isu yang menarik untuk dikupas dan didalami sebagai pengetahuan am untuk peralihan kehidupan seorang pelajar kelak.

Dicucuk dari dalam dan luar siapa tidak terasa kesakitannya melihatkan pelbagai pihak yang seolah-olah ada pandangan dan idea yang merujuk kepada kepimpinan bakal dipilih dalam PAS itu. Ada pendapat yang mengatakan bahawa PAS bakal dikuasai oleh golongan profesional pada pemilihan kepimpinan pada kali ini. Adakah itu benar?

Hakikat yang jelas setelah diamati sejarah lahirnya PAS itu sendiri bagaimana dua golongan atau entiti ini seiring menghadapi pelbagai ujian yang datang dalam membentuk kematangan dan survival dalam politik. Ibarat isi dengan kuku, bagai aur dengan tebing, gigi dan lidah itulah bahasa mudah untuk menggambarkan dua golongan ini. Dalam menerajui kematangan dua entiti ini perlu berpadu tenaga dan menggenggam erat tangan antara satu sama lain untuk memastikan tali PAS itu sentiasa dalam laluan yang sebenar mendokong Al-Quran dan As-Sunnah.

Perubahan semakin jelas dan cahaya Islam semakin menyinar dengan melihatkan masyaratkat hari ini yang segelintirnya yang semakin sedar tentang kempentingan agama dalam pembentukan insan dan kepentingannya dalam memandu hati di jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Dari nur_mahasiswa, dalam kepimpinan manusia kelemahan dan kekurangan tetap ada tetapi, selagi mana usaha dan mujahadah yang kuat untuk memperbaiki kekurangan tersebut Insyallah kita tergolong dalam golongan yang mencintai agama Allah.