Friday, 11 September 2009

Hayati Bulan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
Dewasa ini kita melihat pelbagai kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Pelbagai pendekatan yang diambil untuk memastikan masyarakat supaya selari dengan perkembangan kemajuan yang berlaku. Saya tertanya-tanya kemanakah harus dituding setiap permasalahan yang berlaku ini. Daripada pertanyaan itu timbul pelbagai jawapan yang mungkin ada betul dan ada tidaknya.

Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ungkapan yang sering saya dengar dan saya sendiri sebut tetapi adakah itu sekadar sebutan kemanisan dibibir dan lirikkan indah di telinga sahaja. Saya masih tidak faham dengan masyarakat kampus yang beragama Islam yang pada saya mungkin faham atau tidak faham atau buat-buat tidak faham dalam setiap tindak-tanduk dan perilaku seharian sepanjang bulan Ramadhan. Lihat sahaja contoh dalam seharian kita berlapar melihat gelagat sahabat-sahabat kampus ulang-alik ke sana dan ke mari membonceng antara lelaki dan perempuan, turun makan sahur berseluar pendek menadah tangan membaca doa, sentuh menyentuh antara lelaki dan perempuan muslim tanpa ada batsan dan lain-lain lagi.

Seperkara lagi yang agak pelik kita berlumba-lumba untuk solat sunat tarawih berjamaah tetapi solat fardhu berjamaah amat jauh sekali untuk diamalkan. Mungkin sangka baik yang boleh saya gambarkan sibuk menunaikan tuntutan individu sebagai mahasiswa dan bekerja. Apa yang penting adalah ingatkan dan usahakan diri untuk bersama-sama menunaikan solat fardhu berjamaah dalam apa jua keadaan sekalipun kerana banyak manfaat dan keberkatannya.

Secara peribadi saya melihat adakah kita ini sekadar berpuasa lapar dan dahaga bermula sebelum subuh dan penghujung senja kita berbuka tetapi tanpa penghayatan kita yang sebenar kepada Islam iaitu kepada Allah s.w.t. cukup jauh seolah-olah kita hanya berlapar sahaja dalam bulan ramadhan.

Lontaran masalah dan idea-idea pada artikel kali ini adalah yang paling utama untuk mengingatkan diri saya terutamanya dalam melalui denai kehidupan sepanjang bulan ramadhan dan juga untuk sahabat-sahabat yang berada di kampus. Berkongsi ilmu adalah sebaik-baik manusia ciptaan Allah s.w.t. Sekadar pesanan dan peringatan jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai medan latihan untuk kita berubah kepada keadaan Islam yang sebenarnya dan berterusan untuk masa akan datang.

Wallahhuallam.

No comments: