Sunday 28 December 2008

Ma'al Hijrah 1430 Selami Perubahan


Bismiillahhirrahman nirahim..Assalamualakum w.b.t.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t sekalian alam. Samaada sedar atau tidak kita menginjak satu tahun lagi dalam urutan tahun Hijrah. Tahun 1429 Hijrah membawa seribu makna dan pengertian bagi yang menerima hakikat sebagai seorang manusia yang bertuankan Allah s.w.t. Melangkah ke 1 Muharam 1430 Hijrah bererti satu lagi perubahan yang perlu dilaksanakan kerana Allah s.w.t. Sudah terlaksanakah tanggungjawab kita sebagai HAMBA kepada Allah s.w.t. di tahun lalu? Bagaimana pula dengan persediaan untuk menghadapi tahun baru ini?

Berbeza sambutan Maal Hijrah dengan tahun baru masihi, dentuman bunga api, pesta keraian dan hiburan silih berganti dengan siaran rancangan televisyen bertukar tarikh dan masa mengisi setiap ruang lingkup kehidupan manusia hari ini. Ingatkah kita pengorbanan yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. dan kaum Muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah berhijrah dengan sehelai sepinggang ? Dengan membawa satu tekad dan perubahan hanya kerana Allah s.w.t. Bagaimana pula masyarakat yang berbeza mampu bersatu di bawah panji Islam hidup aman dengan segala nikmat kurniaan daripada Allah s.w.t. tidak terfikirkah kita?
Dalam menongkah kehidupan hari ini ramai golongan manusia yang tersasar jauh dari cahaya Illahi. Bunga yang dahulunya mekar dengan baja Islam dan hari ini dilihat layu dan terkulai menyembah bumi kerana mengasingkan diri dengan Islam. Yang seronok dan disukai oleh hati diambil dan yang bertentangan dengan kehendak nafsu ditolak jauh, dibuang jauh nun disana tetapi mengaku sebagai Islam. Dimanakah kedudukan itu di sisi Allah s.w.t.? Begitulah hanya tahun Hijrah saja yang menginjak tetapi hati tetap jauh dari roh Islam yang sebenar kerana lebih percayakan aqal daripada Allah s.w.t. Timbul perasaan terlampau yakin dengan keupayaan diri sehingga lupa adanya Allah s.w.t dalam menentukan usaha yang telah dilakukan.

Sebagai kesimpulan marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan Ibrah tentang kesilapan yang lalu untuk diperbaiki dalam tahun baru ini. Sedarlah wahai manusia belum terlambat untuk kita kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Ingatlah satu perkara yang KEMATIAN ITU PASTI cuma masa sahaja menentukan. Apabila terpisah jasad dan roh maka terputuslah amalan anak Adam itu melainkan tiga perkara sedekah jariah, ilmu yang disumbangkan dan doa anak-anak yang soleh. Semoga roh Islam itu mekar dalam jiwa sampai ke penghujung nyawa.Insyallah. Jangan jadikan kelemahan kita itu sebagai batas yang menhalang kecintaan kita pada Maha Agung. Syukran wasalam.

Saturday 27 December 2008

Ayat-Ayat Cinta

Komentar Ayat-Ayat Cinta


Alhamdulillah akhirnya selesai juga ana menghabiskan novel ini, karya Habiburrahman El Shirazy. Walaupun ana rasakan agak ketinggalan dalam mengejar dunia novel ini tapi masih diberikan masa oleh Allah s.w.t untuk menghabiskannya. Dilihat dari luar seakan-akan tiada apa-apa yang menarik tetapi selesai satu persatu bahagian ana rasakan satu kelainan dalam novel ini. Apa tidaknya susunan penceritaan yang cukup menonjolkan kedewasaan sang penulis dalam mencoret sebuah karya yang berunsur dakwah ini.
Tidak keterlaluan ana katakan novel ini adalah yang terbaik yang pernah ana baca dari yang sebelum ini. Sarat dengan mesej dakwah dan garapan persekitaran yang cukup mengkagumkan diri ana. Ana dapat rasakan ada satu aura yang cukup kuat apabila membaca bahagian mesej Islam. Lihat sahaja bagaimana penulis mendasarkan mesej Islam
( Credit: Buku Azizul Julirin ) melalui watak Fahri melalui satu bahagian menjelaskan kepada umum tentang kedudukan wanita dalam agama Islam yang amat berbeza dengan mana-mana layanan dari pandangan masyarakat yang bukan beragama Islam.
Sebuah novel yang membawa mesej dakwah yang cukup dalam pengertiannya dan begitu menyentap jiwa bagi yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang dai’e. Semua yang dilakukan dalam kehidupan adalah semata-mata kerana Allah s.w.t. Itulah yang digambarkan kepada Fahri setiap hari segala perintah sebagai seorang hamba dilaksanakan sebaik mungkin tetapi tahukah sahabat dan sahabiah sekalian bahawa Allah s.w.t berhak menguji hambanya dalam apa jua bentuk sekalipun walaupun pada setiap masa kita menjadi hambanya yang tawadduk dalam melaksanakan amal ibadah kepadaNya.
Dari ilmu yang Allah anugerahkan kepada ana, ana dapat rasakan yang ujian itulah sebenar-benar parameter atau kayu ukur sebenar kedudukan kita disisi Allah s.w.t. Lagi besar ujian yang kita terima dan kita tabah dan sabar menghadapinya lagi tinggi darjat atau “level” kita disisi Allah s.w.t. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t.
“Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk surga , padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu”

Surah Al-Baqarah Ayat:214 (1:214)
Ujian itu datang selepas Fahri sedang asyik dibuai dengan segala kesukaan dunia tanpa diduga perkara buruk yang berlaku pada kemudian harinya kelak. Bermula dengan tawaran untuk berkahwin gadis Turki Aisha sehinggalah ketika berada di rumah flat mewah milik ibu Aisha yang telah meninggal dunia dan diletakkan diatas nama Aisha selaku anak tunggalnya semuanya dilihat indah di mata Fahri.
Mungkin itu sahaja yang mampu ana coretkan daripada novel dakwah ini mungkin banyak lagi mesejnya tapi antum boleh membacanya sendiri. Insyallah usaha murni penulis dalam membawa mesej dakwah tersebut akan membawa erti yang cukup mendalam dan dihayati oleh segenap manusia betapa Islam itu indah sekiranya “rohnya” itu sampai kepada hati manusia. Waallahhuallam. Syukran wasalam.

Friday 26 December 2008

Turun @ naik???

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah akhirnya keputusan semester 1 sesi 2008/2009 terpampang dengan jelas. Segala usaha dan keringat sepanjang semester yang lalu terjawab. Buat sahabat dan sahabiah yang berjaya mencapai sasaran tahniah diucapkan bagi yang tersasar banyak-banyak panjatkan juga kesyukuran kepada yang Maha Berkuasa.

“Fiq result dah kuar. Berapa dapat?” “Gano result?” begitulah sekilas pandang terhadap celoteh sahabat yang ingin mengetahui keadaan ana di semester lalu. Tidak lain dan tidak bukan untuk mengetahui berita gembira atau buruk dari keputusan tersebut.Syukran wahai sahabat jazakallahhu khairan kathiran.
Segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan sekalian alam, walauapapun keputusan yang diterima kuatkankan hati teguhkan iman. Allah s.w.t sentiasa menguji hambanya dari pelbagai sudut untuk mencari hambaNya yang benar-benar bertaqwa dengan kalimah syahadahNya. Dari satu sudut tercoret di hati kenikmatan yang sebenarnya apabila dihadapkan dengan ujian daripadaNya. Itu baru ujian dari sudut akademik belum lagi yang lebih dahsyat daripada itu.


Ya Allah ya Rahman ya Rahim. Janganlah Engkau hadirkan pada diri kami ujian dan cabaran yang tidak mampu kami tempuhi dan hadapi. Sesungguhnya kami hanyalah hambamu yang ternyata kekurangan dan kekerdilannya di sisiMU. Aminnn.

Sahabat dan Sahabiah sekalian.

Muslim itu istimewa, ana bangga menjadi muslim kerana padanya ada dua perkara yang tidak mungkin ada pada yang lain iaitu rasa syukur dan sabar. Syukurnya bila didatangkan segala kebaikan dan musibah daripadaNya dan bersabar dengan mehnah dan tribulasi kehidupan yang didatankan khas daripada Allah s.w.t. untuk mukmin yang bertaqwa. Syukran diatas nikmat yang cukup besar ini.


Sebelum mengundurkan tinta maya ini ana mengajak diri ana terutamanya dan sahabat sahabiah sekalian meneruskan perjuangan yang telah terukir dalam kehidupan. Lakukan perubahan dari awal semester untuk kesenangan di hujungnya nanti. Tekadkan dalam diri dengan kekuatan yang ada untuk terus memperbaiki diri. JANGAN JADIKAN AKADEMIK FITNAH BESAR BUAT ORANG ISLAM YANG MENYAHUT PERJUANGAN ILLAHI. Syukran wasalam. Semoga Allah s.w.t memberkati segala usaha yang kita lakukan keranaNya.



SELAMAT MENGHADAPI SEMESTER YANG BARU MOGA BEROLEH KEBERKATAN DARIPADA ALLAH S.W.T.

Wednesday 24 December 2008

Ujian Buat Adik Faizul


(Adik Faizul yang terlantar di Hospital Likas)
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi adik Faizul akhirnya beransur pulih dari penyakit yang dihadapinya. Mungkin anda tertanya siapakah adik Faizul ini. Dia adalah kanak-kanak yang sedang menghadap ujian dari Illahi. Dia dikatakan menghidap penyakit Skeletal displacia (mengikut maklumat yang diperolah daripada Ibunya) dan selepas dilakukan pembedahan keadaannya beransur pulih.

Sahabat dan sahabiah sekalian mungkin apalah sangat penderitaan yang dihadapi oleh adik cilik ini jika dibandingkan dengan kehidupan kita yang penuh dengan kesibukkan. Sudah hampir sepuluh bulan dia terlantar di Hospital Likas bertemankan ibunya, kakaknya dan adik bongsunya. Melihatkan keadaan pergerakannya yang terbatas sehingga terdetik di hati mampukah sekiranya kita dihantar ujian yang sebegitu dalam kehidupan.

(Sahabat-sahabat yang melawat adik Faizul)

Walauapapun ujian yang datang kepada adik Faizul, abang harap adik akan terus cekal menghadapi ujian dari Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t sedang berbicara dengan adik. Buat sahabat sama-samalah kita mengambil iktibar daripada ujian yang Allah datankan kepada saudara kita dan kita doakan agar adik Faizul cepat sembuh daripada penyakit tersebut. Syukran Wasalam.

Tuesday 23 December 2008

Politik dan Mahasiswa

Politik dan Mahasiswa

Bismillahirrahmannirrahim.Assalamualaikum

Terasa berat juga untuk menulis berkenaan tajuk ini maklumlah disebut sahaja politik dalam kampus ada saja yang terus melenting bak “peluru”. Ana baru saja ber”ym” dengan seorang akhi dari UTM yang bakal Pilihan Raya Kampus (PRK) bersama sahabat-sahabatnya di semenanjung yang bakal menghadapi PRK terlintas di fikiran ana berkenaan tajuk di atas. Sebenarnya “tinta” ini adalah sekadar perkongsian daripada seorang yang memerhati pada persekitaran kampus tentang suasana politik yang berlaku. Bagi ana, walauapapun pandangan yang dizahirkan ana terima dan raikan.


Sang Politik Yang Mengharap Redha Illahi

Pada pandangan ana mahasiswa yang terlibat dalam politik kampus sebenarnya seseorang yang berusaha untuk memperbaiki kelemahan dirinya, belajar tentang erti kehidupan sebelum menghadapi ujian yang lebih besar selepas bergraduasi kelak dan memupuk disiplin diri sebagai seorang insan yang bermanfaat. Mungkin banyak lagi yang boleh ana jelaskan disini tentang manfaat yang diperoleh dengan membawa politk suci. Sucikah politik itu? Ana tinggalkan persoalan itu kerana masing-masing dikalangan kita mampu untuk menjawab persoalan itu atau ana buka ruangan komen untuk kita kongsikan bersama.

Masa berlalu

Walaubagaimanapun sebab yang diberikan mahasiswa yang melingkarkan hidupnya dengan salutan politik ialah hanya satu bentuk proses kehidupan ke arah yang lebih hakiki. Cuba kita bandingkan mereka yang terlibat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), JAKMAS dan Persatuan sekolah dengan sahabat-sahabat yang lain yang hanya tangan kanannya memetik hujung tetikus manakala yang sebelah kiri pula menekan-nekan punat pada “keyboard” dengan mata menghadap layar computer selepas habis kuliah menghabiskan masa dengan “game”. Bukan bermaksud menghalang dari perkara tersebut tetapi biarlah berpada jangan “over” sehingga terabai tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.

Lebih Bertanggungjawab

Melihat saja mereka yang terkejar-kejar dengan pelbagai program dan kebajikan yang semata-mata memenuhi tuntutan dan juga tanggungjawab sebagai seorang yang memiliki pangkat dan jawatan. Harus diingat bahawa setiap apa yang dilakukan adalah untuk beroleh keberkatan daripada Allah s.w.t. Jangan kita lari dari perkara tersebut kelak kita yang akan binasa.

Menghargai Masa

Jawatan yang dipegang sebenarnya mendorong kita untuk memanfaatkan masa yang Allah s.w.t berikan kepada kita. Kita sudah sedia maklum apabila “mengandung” dua tanggungjawab sebagai seorang akademik dan seorang mahasiswa berjawatan. Pada tahap ini kita merasakan yang masa yang kita ada benar-benar berharga dan sangat mengharap supaya dipermudah segala urusan yang berada di bawah tanggungjawab tersebut. Pada hemat ana, untuk mendamba kasih Illahi ditempat ana merapatkan dahi mencari permukaan di muka bumi Allah s.w.t. Mencari masa untuk belajar cukup sukar dengan dua jam di bilik tetapi walau di mana kita berada adalah sebenarnya tempat untuk belajar. Masuk kuliah sahaja kepala mesti fokus apa yang diperkatakan oleh pensyarah kerana kita tidak ada masa lagi untuk ulang perkara yang disampaikan oleh pensyarah tersebut manakan tidak sebagai pemimpin tamat masa kuliah terus berhadapan dengan tanggungjawab. Insyallah yakinlah pada Allah s.w.t. sentiasa bersama dengan mereka yang membantu insan yang lain.

Tingkat “Softskill”

Berucap di khalayak ramai, kemahiran berorganisasi, menghadapi kritikan, dan sebagainya ialah antara perkara yang seharusnya dipelajari dan diperbaiki untuk memastikan kita sebagai ahli politik yang berkualiti bukan sekadar melakar kata-kata dan tarikan tetapi mampu untuk memenuhi tanggungjawab yang digalas. Harus diingat “softskill” ini sebenarnya amat berguna apabila kita keluar dari universiti dan menghadapi masyarakat. Tambahan pula kita keluar sebagai generasi penerajui negara menggantikan generasi yang sedia ada sekarang. Tampuk pemerintahan seterusnya bergantung kepada generasi seterusnya.Jadi pesanan dari ana lengkapkan diri kita sebagai mahasiswa dengan sebaik mungkin.
Memupuk Kasih Sayang

Kasih sayang?..hehe.Pada pandangan ana apabila kita bergelar pemimpin yang selari dengan kehendak Islam akan timbul perasaan sayang terhadap mereka yang dipimpinnya. Tidak kiralah dari mana datangnya mereka tersebut baik Melayu, Cina, India, minoriti Sabah dan Sarawak dan sebagainya mereka mesti dilayan dengan seadilnya. Perkara ini timbul kerana sebagai seorang pemimpin berjiwa “rakyat” hatinya ini seolah-olah sebelah sahaja dengan hati “rakyatnya”. Sesuai dengan tema Islam itu sendiri yang membawa keamanan dan kebahagiaan.

Bersesuaian dengan tema blog ini nur_Mahasiswa, ayuh mahasiswa sekalian isilah masa anda dengan perkara bermanfaat untuk menjamin kehidupan di dunia dan akhirat jangan bunuh masa anda dengan pisau kelompangan dengan perkara yang tidak bermanfaat. ANA TUJUKAN KHAS TINTA INI BUAT MAHASISWA KAMPUS KHUSUSNYA RESIDEN KOLEJ KEDIAMAN CD UMS. Sekadar itu tinta dari ana mungkin itu yang ana dapat leraikan dari minda untuk dikongsi bersama. Kepada sahabat berusahalah untuk memperbaiki diri.

Islamic Summer Camp

Islamic Summer Camp (ISC)

Pada 12 hingga 15 Disember yang lalu bertempat di Kampung Kobuni Inanam telah diadakan Islamic Summer Camp yang bertujuan untuk mengisi masa cuti dan terluang pelajar sekolah sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud, Spitang dan Tuaran. Syukur pada Allah s.w.t. kerana diberi peluang dan masa untuk mencoretkan perkongsian kepada yang sudi. Selaku fasilitator yang dijemput sekadar untuk memeriahkan suasana dan membantu banyak juga manfaat yang diterima dalam menuju Mardhotillah, Insyallah.

Alhamdulillah program tersebut berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancang oleh pihak penganjur. Program yang digarapkan dengan pengisian kerohanian sedikit sebanyak mengajar dan memenuhi tuntutan sebagai seorang muslim dalam menongkah kehidupan berliku. Selaku orang yang memerhatikan program dari awal sehingga ke akhir walaupun masih terikat denga tugas sebagai “peladang ikan” di hatchery banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh dalam menilai erti kehidupan .

Berdasarkan maklumat yang diterima seramai 80 orang peserta yang datang dengan kesungguhan yang terdiri daripada mulimin dan muslimat. Dari satu persatu program ditelusuri dan dicambah idea dan minda banyak input yang diperoleh oleh perserta yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sepenuhnya sebagai seorang dai’e.


Jelajah Dakwah adalah salah satu daripada slot program yang ditentatifkan unutk dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta selepas banyak menerima input dan juga buah fikiran sepanjang program. Itulah yang sebaiknya selepas diperturunkan segala ilmu dan pandangan dan perkara tersebut terus diaplikasikan oleh peserta terhadap mad’u (sasaran dakwah). Peserta dilepaskan ke sekitar kawasan di Inanam dan Kampung Menggatal secara berkumpulan bergerak mencari mad’u dalam tempoh masa yang diberikan. Banyak yang dapat dikongsikan peserta kepada kami
(Bersama adik2 kumpulan)
sewaktu slot tersebut.

Bergambar selepas penutup program

Sebelum menutup tabir coretan ini ana sedikit harapan daripada ana agar kita memperoleh manfaat sepenuhnya untuk program tersebut walaupun selaku peserta mahupun sebagai fasilitator dan juga pihak penganjur.

Bas oh bas!!!


Entahlah apa yang bermain di fikiran ana sewaktu pulang dari Melaka ke Kelantan. Ketika itu ana menaiki bas harian dari Machang ke Kuala Krai. Lihat saja dari luar bas seakan-akan baru dibeli satu bulan yang lepas tetapi selepas ana menjejakkan kaki ke dalam bas tersebut..Masyallah…bas tu macam dah dua tahun pakai. Ana terfikir kenapa terjadi sedemikian. Seolah-olah tidak ada perasaankah mereka sewaktu seronok merosakkan harta benda awam tersebut.

Bagi ana agama yang memainkan peranan penting terhadap perkara tersebut.Jika mereka benar2 menghargainya akan timbul perasaan di hati “mereka” untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik mungkin dan memastikan manfaat tersebut kepada orang lain. Ke manakah agaknya nilai moral ini hilang kepada generasi sekarang. Mungkin itu kemudahan awan di dalam bas bagaimana pula di tempat lain?..Masyallah..nauzubilla himinzalik.

Kadang-kadang ana terfikir bagaimana hendak mengatasi masalah ini bukan apa setiap muslim itu bersaudara dengan muslim yang lain dan antara muslim itu ada hak pada diri masing-masing.Ya Allah..besarnya tanggungjawab tersebut. Seperti yang ana beritahu tadi agama adalah penyelamat kepada segala bentuk kemungkaran yang berlaku.Insyallah Allah s.w.t Maha Pengampun, Maha penyayang lagi Maha pemurah.

Ya Allah lindungilah umat Islam di muka bumi MU ini dari kecelakaan mereka yang bertindak sedemikian dan permudahkanlah hati-hati mereka untuk kembali bertaut pada kasih abadi MU yang hakiki. Moga selamat dunia dan akhirat.Aminnn..

Friday 5 December 2008

Selamat Hari Raya Aidiladha

Thursday 4 December 2008

PTPTN-Mahasiswa

Program PTPTN Bersama Mahasiswa UMS

Tanggal 22 November lalu ana bersama dengan ahli JAKMAS dan juga residen kolej telah menghadiri majlis Majlis Bersama PTPTN-Mahasiswa dan Pelajar Universiti Malaysia Sabah. Mohon maaf atas kelewatan makluman ini. Majlis yang bermula pada jam 9.40 pagi agak lengang kerana semua sudah sedia maklum pada hari tersebut para mahasiswa kebanyakkan telah pulang ke kampung halaman. Walaupun ana tidaklah mempunyai banyak maklumat berkenaan PTPTN kerana ana bukanlah peminjam PTPTN tetapi atas dorongan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin ana teruskan.Di sini ana kongsikan serba sedikit yang ana peroleh sewaktu menghadiri majlis ilmu tersebut:

Masalah yang dibangkitkan:

1.Tempoh masa pendaftaran PTPTN sewaktu Minggu Suai Mesra (MSM) yang agak pendek ditambah dengan kesibukan sewaktu program MSM.

2.Masalah komunikasi dan penyampaian maklumat permohonan kepada pihak PTPTN bagi mereka yang Pasca Siswazah.

3.PTPTN sebagai sebuah organisasi yang menjalankan urusan riba?

4.Pemotongan wang pendahuluan (RM1500) yang tidak relevan.

5.Pembayaran selepas bergraduasi.


Cadangan:


1.Dipanjangkan tempoh pihak PTPTN untuk berada di UMS

2.Laporan terus kepada pihak PTPTN-masalah mungkin timbul di peringkat penyampaian maklumat.

3.Berdasarkan makluman daripada pihak PTPTN Majlis Fatwa dan juga JAKIM membenarkan tindakan PTPTN mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 3 % kepada pelajar. (Untuk maklumat lanjut sila rujuk mereka yang lebih arif berkenaan dengan perkara ini- psst… siasat dulu baru bley percaya tak boleh terima bulat barulah jadi mahasiswa berkualiti)

4.Pemotongan wang pendahuluan RM1500 secara ansuran bagi setiap semester. Maksudnya disini ialah para peminjam tidak perlu membayar dalam jumlah keseluruhan untuk satu masa.

5.Pembayaran adalah selepas enam bulan selepas bergraduasi samaada sudah mendapat pekerjaan atau belum.


Pesanan dari pihak PTPTN kepada pelajar:


1.Menggunakan duit PTPTN sebaik mungkin dengan memaksimum kepada penggunaan sebagai seorang mahasiswa yang bakal berjaya.


2.Menggalakkan generasi yang seterusnya untuk menggunakan SSPN (Skim Simpanan Pelajar Nasional).


3.“Bila dah guna kena pandai2 la bayar blik” (ayat2 yang ana sendiri reka untuk lebih mudah faham)

4.Bertanggungjawab terhadap pinjaman yang telah dilakukan untuk generasi yang seterusnya.


(Makluman ini ditulis untuk dikongsi bersama mahasiswa yang lain.Sekiranya ada salah dan silap ana mohon untuk diperbetulkan insyaallah..MENULIS KERANA RASA TANGGUNGJAWAB PADA ILMU.Moga beroleh keberkatan dari ALLAH S.W.T.)

Syukran Wasalam

Wednesday 3 December 2008

Lambaian Kasih Labuan

Konvoi Lambaian Kasih Labuan

Alhamdulillah selepas hampir dua hari berada di Wilayah Persekutuan Labuan ana dan juga sahabat selamat sampai ke UMS Kota Kinabalu. Satu pengalaman yang amat berharga sewaktu berada disana. Walaupun ana rasakan belum cukup untuk tempoh dua hari bagi menerokai keseluruhan tanah Labuan ini. Pada awalnya agak keberatan untuk ke Labuan bersama sahabat ini kerana tanggal 29 November ana akan berangkat ke semenanjung untuk menghadiri Konvensyen Rukun Negara di Melaka selama tiga hari. Bimbang kalau-kalau keletihan mencengkam apabila pulang nanti tapi kudrat dikumpul paluan keinginan tetap membawa diri ke sana. Satu peluang yang amat bermakna bagi diri ana yang pertama kali menjejakkan kaki ke Labuan yang popular dengan satusnya sebagai kawasan bebas cukai. Sedikit bingkisan ana kongsikan untuk para sahabat yang mengunjungi blog ini mungkin ada yang boleh dikongsi bersama.

26/11/08, Rabu (Hari Pertama)

2.05 Petang
Sebelum memulakan perjalanan, kami dahulukan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Akhi Faiz. Pada awalnya kami ingin bertolak pada jam 1 petang supaya kami dapat tiba awal di jeti Menumbok tetapi atas masalah yang tidak dapat dielakkan perjalanan kami bermula pada jam 2.05 petang. Untuk sampai ke Jeti Menumbok kami menelusuri laluan Papar dan seterusnya laluan Beaufort dan seterusnya sampai ke destinasi yang di tuju.
Perjalanan sejauh 160 kilometer dari UMS cukup mencabar dengan kekuatan ahli konvoi seramai empat orang dan dua buah biji motorsikal. Sepanjang laluan ke Jeti Menumbok tidak banyak yang dibualkan memandangkan kami mengejar masa untuk menaiki feri tepat jam empat petang.
4.40 Petang
Setibanya ana dan juga Akhi Faiz dengan Akhi Ding dan juga Akhi Mat Nor yang telah sampai lima minit lebih awal kami hanya mampu melihat feri berlepas dari Jeti Menumbok. Perasaan kecewa di hati tidak dapat digambarkan kerana terlepas menaiki feri kerana terlewat. Pada ketika itu, harapan kami seolah-olah sudah terkubur di situ tetapi selepas bertanya kepada salah seorang staf harapan kami kembali cerah dengan jawapan positif daripada staf tersebut. Rupa-rupanya masih ada feri yang ke Labuan pada hari itu selepas jam empat petang iaitu pada jam sembilan malam. Tanpa berlengah kami terus ke kaunter tiket dan membeli tiket untuk malam tersebut. RM 5 untuk satu penumpang, ditambah RM 10 untuk motorsikal dan yuran mendarat RM 2 menjadikan jumlah untuk yang membawa motorsikal sebnayak RM 17.
5.45 Petang
Kami solat terlebih dahulu di Masjid yang berdekatan dengan Jeti Menumbok sebelum kami memutuskan untuk melawat rumah Akhi Fahmi (Mantan NYDP 3 JAKMAS CD 07/08) yang terletak di Kampung Kerukan. Agak susah untuk mencari stesen minyak di sekitar Menumbok dengan simpang ke kanan ke Pekan Mempakul (2.6 Kilometer dari Jeti Menumbok) juga tidak terdapat stesen minyak yang ada hanyalah jualan melalui ketil-ketil (dialek orang tempatan).
6.21 Petang
Perjalanan yang mengambil masa 40 minit dari Jeti Menumbok ke rumah Akhi Fahmi agak memenatkan ditambah dengan petang yang beransur senja. Ketika kami tiba di Masjid Jami’ Kerukan, Akhi Fahmi yang baru sahaja selesai menunaikan solat Marghrib mengukirkan senyuman kepada kami mungkin kegembiraannya selepas melihat kedatangan kami. Tergambar wajah-wajah ceria yang bercampur dengan keringat keletihan selepas menghabiskan perjalanan dari UMS ke Menumbok. Selepas solat kami singgah sebentar di rumah Akhi Fahmi sementara menunggu masa feri berlepas jam sembilan malam nanti. Alhamdulillah rezeki dari Allah s.w.t kami makan malam di rumah Akhi Fahmi.
8.40 Malam
Selepas meredah kedinginan malam dari Kampung Kerukan akhirnya kami sampai ke Jeti Menumbok dan menunggu untuk menaiki feri. Sementara menanti untuk menaiki feri pelbagai sudut kami lihat dan sesuaikan dengan set untuk kami “click” gambar sebagai tanda kenangan.
9.50 Malam
Feri memulakan perjalanan dari Menumbok ke Labuan. Satu destinasi yang kami harapkan untuk sampai. Teringat pula ana untuk menghabiskan novel sejarah Islam bertajuk Khalid Memburu Syahid karya Abdul Latip Talib yang banyak menarik minat ana melalui jalan cerita yang digarap melalui kisah sejarah Islam untuk membacanya sehingga ke penghujungnya. Tambahan pula suasana yang suram dan sunyi tanpa jumlah pengunjung yang ramai mendorong minat untuk terus menghabiskan novel tersebut.
11.20 Malam
Perjalanan feri yang kami naiki mengambil masa satu jam setengah untuk sampai ke Jeti Labuan. Muka surat demi muka surat dibelek tanpa ana sedari yang kami telah tiba ke destinasi. Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t kami panjatkan ke hadratNya. Insyallah ana akan ulas pasal buku yang ana baca itu untuk dikongsi bersama Insyaallah. Setibanya kami di sana, kami terus berangkat menuju ke Masjid An-Nur di pusat Bandar untuk mencari teduhan sementara menanti hari esok.

27/11/08, Khamis (Hari Kedua)

6.40 Pagi
Selepas solat subuh kami meneruskan perjalanan dengan mencari stesen Minyak (Makluman: Stesen minyak di buka pada jam 7 Pagi). Sementara menanti stesen minyak memulakan operasinya kami bersetuju untuk makan terlebih dahulu di restoran yang kami gelar “Farwis” Labuan.hehe. Restoran yang tidak asing lagi bagi pelajar UMS KK di Kingsfisher. Di restoran ini kami makan sekadar untuk mengalas perut kerana tempat yang dituju kami selepas ini adalah UMSKAL untuk bertemu dengan Akhi Hafis (Pelajar tahun 4 dari Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial) .
7.45 Pagi
Perjalanan ke UMSKAL mengambil masa setengah jam dari pusat bandar. Kami mulakan perjalanan hari ini penuh bertenaga memandangkan inilah kali pertama ana semenjak datang ke Sabah menjejakkan kaki ke Labuan. Ketibaan kami disambut ceria dari pegawai Keselamatan yang ana lihat salah seorang dari mereka yang peramah dan selalu tersenyum. Setibanya kami di surau UMSKAL, kami meronda kawasan
sekitar surau sehinggalah kepada pejabat BADAR (Badan Dakwah UMSKAL) sementara menanti ketibaan Akhi Hafis. Beberapa minit kemudian Akhi Hafis tiba dengan senyuman. Sebelum kami berangkat, kami bertanyakan khabar dan berborak untuk mengisi masa kami yang kepenatan dari pusat bandar. Simpang ke Rumah Akhi Hafis hanya berdekatan dengan UMSKAL dan bersebelahan dengan Sekolah Sains Labuan. Kampung Sungai Pagar itulah nama yang diberi untuk kampung Akhi Hafis dengan jarak dari pusat bandar sejauh 15 Km.
8.40 Pagi
Kami tiba di kawasan Pantai Rekreasi Pancur Hitam dengan suasana yang lengang tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk bersama-sama menyelami kindahan pantai ini. Bermula dengan mencuba peralatan untuk rekreasi yang boleh dikatakan mencabar keupayaan fizikal bagi mereka yang mencubanya. Alhamdulillah kami setuju untuk mandi di pantai kecuali Akhi Hafis yang mungkin sudah biasa di sini.
10.05 Pagi
Seterusnya motorsikal ana meluncur laju ke satu kawasan yang ana tidak ketahui kerana mengikut sahaja Akhi Hafis yang memandu Iswara putih “silver”. Tepat jam 10.05 pagi kami tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai Kompleks Sejarah Chimney (KSC). Di pintu masuk tersergam indah bangunan Pusat Informasi Chimney (PIC) dan berdekatan dengannya adalah Menara Chimney (MC).

Kompleks Sejarah Chimney dibangunkan untuk mempamerkan segala sejarah awal yang berlaku di Tanjung Kubong. Sejarah awal membuktikan bahawa Tanjung Kubong merupakan kawasan arang batu sejak dari dari 1847.
Bangunan PIC dimulakan pembinaannya pada 25 Januari 2000 dan siap pada 29 Ogos tahun yang sama. Bersebelahan dengan Pusat Informasi Chimney ialah Menara Chimney yang telah dibaikpulih bagi menghargai sejarahnya pada masa yang terdahulu. Menara ini menjadi bukti berlakunya perlombongan arang batu di Tanjung Kubong.
KSC dibina bagi menambah koleksi pelancongan di Labuan selain daripada tempat menarik yang telah dibina sebelumnya seperti Taman Burung, Pantai Batu Manikar, Manikar Beach Resort, Pantai Pohon Batu, Terowong-Terowong Bekas Arang Batu, Bukit Kubong, kawasan perkampungan nelayan dan sebagainya.
MC merupakan peninggalan bersejarah Tanjung Kubong dan terletak 12 Km dari pusat bandar. Bagi masyarakat tempatan MC dikenali sebagai “punil”. Menara ini sememangnya terkenal dan unik di Labuan. Fungsi sebenar MC masih belum dapat dipastikan sehingga kini. Ada yang mengatakan MC ini adalah tempat peralihan udara untuk terowong bawah tanah tetapi melalui kerja ekskavasi tidak ada tanda-tanda kewujudan terowong di bawahnya. Sumber lain pula mengatakan MC itu adalah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi kerana pernah wujud pelabuhan di Pantai Lubok Temiang pada satu ketika dulu. Melalui penduduk tempatan pula kewujudan MC sebagai menara loceng untuk memaklumkan kedatangan kapal-kapal.
Pembinaan semula Chimney dilakukan dengan projek Konservasi Chimney dan melibatkan pelbagai peralatan sebagai bahan pengukuh dan bata-bata yang berbeza fungsinya.
11.00 Pagi
Seterusnya haluan kami diteruskan ke pusat bandar Labuan menuju ke Ujana Kewangan salah satu dari tempat yang mendapat perhatian. Tiada apa yang kami boleh lakukan disini dan kebetulan sewaktu kami berada di sini diadakan satu pameran “sound system” (nantikan posting ana berkenaan kereta bising ini.hehe) kereta. Tiada apa yang istimewa kami lakukan di sini sekadar mengenali tempat membeli-belah di Labuan sahaja. Disebabkan agak kepenatan kami bersetuju untuk makan di Deens Restoran sebelum berangkat balik ke rumah Akhi Hafis di Kg. Sungai Pagar.
12.00 Tengah Hari
Setibanya kami ke rumah Akhi Hafis, kami disambut oleh ummi Hafis yang tidak bekerja dan sebagai suri rumah sepenuh masa. Kelegaan hati kami terubat kerana kepenatan yang mencengkam dan kami isi masa sehingga waktu asar dengan rehat dan berborak bersama dengan keluarga Akhi Hafis.
4.00 Petang
Perjalanan dari rumah Akhi Hafis ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML) mengambil masa dalam 20 minit (11 kilometer dari pusat bandar). Tergerak rasa hati untuk mengenali dan merasai berada di KML. Setibanya kami di sana, surau menjadi tarikan utama kami kerana kami ingin mengetahui bagaimankah suasana Islam dari dalam KML. Alhamdulillah, hidup juga rumah Allah s.w.t ini dengan pengunjung dan juga satu kelompok pelajar yang khusyuk mendengar ilmu. Apabila berada di KML, kenangan sewaktu di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan 06/07 (KMNS 06/07) berlari di kotak minda. Kenangan yang tidak dapat dilupakan. Istilah “Skema” sentiasa tergiang-ngiang di sudut kecil minda. Suasana KML yang pada ketika itu yang harmoni sungguh mengharukan kami ditambah dengan ingatan sewaktu penulis berada di KMNS. KML kami tinggalkan dan menuju ke pusat bandar untuk membeli tiket pulang keesokkan harinya.
9.10 Malam
Pada ketika ini tiada apa yang dapat kami lakukan kerana ketiadaan elektrik atau dalam dialek tempatan “mati karen” dicampur dengan kepenatan malam tersebut kami tidur awal sebagai persediaan untuk memulakan perjalan balik pada keesokan harinya.

28/11/08, Jumaat (Hari Ketiga)

6.40 Pagi
Hari ketiga dan merupakan hari terakhir kami untuk Konvoi Lambaian Kasih Labuan. Sebenarnnya agak keberatan untuk kami meningggalkan Labuan ini kerana masih banyak tempat yang belum kami lawati dan terokai tetapi memikirkan masih ada tugas yang perlu diselesaikan penulis sebelum berangkat ke Melaka pada keesokan harinya untuk program Konvensyen Rukun Negara. Memikirkan persiapan yang belum lagi dilakukan, konvoi pulang ke UMS KK kami teruskan dengan tenang.
9.40 Pagi
Feri memulakan perjalanan dari Labuan ke Jeti Menumbok. Dari jauh kami dapat lihat kedudukan Labuan yang direntangi dengan laut yang membiru.
2.15 Petang
Kami tiba di UMS KK selepas solat jumaat di Masjid Negeri dan makan di kampung Likas.