Wednesday 27 August 2008

Menang..Perubahan atau Retorik…?

Assalamualaikum wbt……Selamat Sejahtera..

Pelbagai reaksi timbul daripada apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah mewakili calon Barisan Nasional (BN) dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat. Dalam pertandingan ini calon PKR Anwar Ibrahim memperoleh 31,195 undi, Arif Shah dengan 15,524 dan Hanafi hanya 92 undi seterusnya hilang wang pertaruhan. Keputusan ini bakal membawa satu momentum perubahan tidak kira daripada parti pembangkang atau kerajaan dan kesannya adalah kepada rakyat samaada baik atau sebaliknya.

Undi pun sudah keputusan pun sudah, pilihan sekarang adalah untuk memikul tanggungjawab dan bebanan yang telah diamanahkan oleh rakyat. Apa yang bersarang di benak fikiran adalah adakah akan berlaku perubahan seperti yang diperkatakan sebelum pilihanraya? Dan jika benar apa yang telah dirancangkan Alhamdulillah dan jika sebaliknya berlaku kita sudah boleh menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya.

Bukan politik yang menjadi perkara pokok disini tetapi yang dibicarakan adalah kita dalam konteks mahasiswa. Jelaslah di sini apa yang diperlukan adalah cambahan idea perubahan daripada mahasiswa itu sendiri dalam mencorak denai berliku di negara yang tercinta ini. Mahasiswa perlu cakna dengan perubahan yang berlaku ini bukannya di atas dasar politik tetapi berpasakkan kebenaran yang nyata yang perlu diperjuangkan oleh mahasiswa. Perjuangan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah bukan untuk mahasiswa semata-mata tetapi untuk agama, bangsa dan negara.

Tegasnya suara pembangkang dan lantangnya suara kerajaan itulah yang perlu diambil dan diamalikan oleh mahasiswa hari ini untuk menyaksikan perubahan yang drastik dalam masyrakat kita hari ini.

Mahasiswa Hari Ini…

Bawalah satu angin perubahan dalam diri bak angin taufan yang mampu menggoncang dan menggegar kawasan yang dilaluinya. Angin perubahan yang mampu memberi manfaat kepada agama dan kepada semua lapisan masyarakat.

Salam perubahan kepada semua…..



Tuesday 26 August 2008

Di mana cahaya Mahasiswa....?

Assalamualaikum wbt….. Selamat Sejahtera

Sebelum memulakan bicara ini, izinkanlah diri anda bersama-sama saya untuk mengenal diri ini dengan sebenar-benarnya, siapa agaknya kita ini pada masa in? Apa tanggungjawab kita hidup di muka bumi Allah swt? Sudah terlaksanakah apa yang sepatutnya? Dan kemanakah kita selepas ini samaada syahid di jalan Allah atau mati berselimutkan hiburan semata-mata atau lain-lain lagi.Sama-samalah kita tenangkan diri dan muhasabah diri kita yang kerdil ini.

Sebagai mahasiswa yang sedang mengharung dugaan semata-mata untuk menggenggam segulung ijazah pasti banyak perkara yang dilalui dan ditempuhi samaada yang perit atau pahit semuanya mesti dihadam dengan berkesan.

Apa yang saya ingin bawakan disini adalah ke mana perginya “bisa” mahasiswa dalam menongkah kehidupan ini baik semasa dalam universiti atau di luar universiti.
Sebagai mana yang kita ketahui jatuhnya kegemilangan Soeharto sebagai presiden Indonesia dan tumbangnya kerajaan monarki Iran semasa Revolusi Iran membuktikan mahaiswa pada satu ketika dahulu adalah nadi penggerak dalam perubahan sesebuah negara. Peranan mahasiswa sangat jelas pada ketika itu dalam membawa perubahan negara. Sekiranya ada titik hitam yang diketahui maka dari situ bermulalah peranan mahsiswa dalam mengorak langkah memutihkan kembali keadaan. Kita mahasiswa sebenarnya adalah mata, telinga dan mulut kepada masyarakat tetapi adakah itu benar-benar kita ketahui dan amalikan dalam kehidupan.

Itulah yang sepatutnya berlaku akan tetapi, melihatkan suasana pada masa kini mahasiswa seolah-olah sesat di padang gersang dek karana dibuai dan diulik manja oleh perkara-perkara yang melalaikan.

Datanglah wahai rakan-rakan mahasiswaku sekalian sedarilah diri kita ini dan kembalilah kepada fitrah kita yang asal sebagai seorang yang beragama Islam mahupun mana-mana agama lain yang mahukan penganutnya membawa satu perubahan ke arah yang lebih cemerlang.

Salam ukhwahfillah dan Salam perpaduan…